|
Perkembangan Bahasa Cina di Bandung, Indonesia
Chew Fong Peng
Sebelum melawat Indonesia, dalam minda saya, masyarakat Cina di sana
adalah golongan yang tertindas walaupun sudah mengasimilasikan diri
sepenuhnya dalam masyarakat Indonesia.
Mereka melepaskan nama, bahasa, kebudayaan, agama, kepercayaan,
amalan dan perayaan Cina untuk membolehkan diri mereka diterima
sepenuhnya oleh masyarakat tempatan.
Dasar diktator Suharto selama 29 tahun mengharamkan langsung penggunaan
bahasa Cina, penerbitan akhbar Cina, tempat sembahyang dan sistem
pendidikan Cina. Namun
begitu, apabila berlaku kemelesetan ekonomi pada akhir 1980-an dan awal
1990-an, penduduk Cina pula dikatakan sebagai punca kemiskinan peribumi
Indonesia, lantas mereka dijadikan sasaran pembunuhan.
Saya amat bersimpati dengan nasib malang kaum Cina di Indonesia,
sebaliknya saya juga bersyukur kerana dilahirkan di Malaysia yang
membenarkan saya dan semua orang Cina mendapat pendidikan Cina dan
mengamalkan kebudayaan dan kepercayaan Cina.
Persepsi tersebut langsung berubah apabila saya menjejakkan kaki di bumi
Bandung pada Disember, 2009.
Saya berkenalan dengan tiga orang ahli jawatankuasa Persatuan
Penulis Tionghua cawangan Bandung.
Nama mereka ialah Zhou Xing Hua (pengerusi), Ming Fang dan Yang
Yun. Walaupun tetap
mempunyai nama Cina, mereka lebih selesa dan biasa dipanggil nama
Indonesia. Nama Cina hanya
digunakan semasa berkomunikasi sesame ahli persatuan.
Semasa berinteraksi dengan mereka, saya dapati sebutan dan intonasi
mereka kurang tepat.
Mereka juga kurang lancar dalam pertuturan bahasa Cina jika dibandingkan
dengan bahasa Indonesia.
Dasar pengharaman Suharto mengakibatkan mereka bertutur dalam bahasa
Indonesia dengan ahli keluarga walaupun suami atau isteri mereka adalah
Cina. Keadaan tersebut walaupun
aneh bagi saya, tetapi saya memahami kesulitan mereka; dalam keadaan
kritikal itu, adalah lebih selamat bertutur dalam bahasa Indonesia
daripada bahasa ibunda.
Oleh itu, apabila dasar itu sudah dimansuhkan setelah Suharto turun,
kesannya terbawa-bawa sehingga generasi muda Indonesia langsung tidak
memahami atau menguasai bahasa Cina.
Mereka memberitahu saya bahawa kini hanya golongan 40 tahun ke atas
sahaja yang memahami bahasa Cina.
Dasar Suharto telah mencabut segala akar umbi pendidikan Cina di
tanah Indonesia; dan hanya golongan tua sahajalah yang sedang
memperjuangkan penulisan karya kreatif bahasa Cina.
Apabila disoal tentang generasi pelapis, Zhou Xing Hua dengan hibanya
menjawab bahawa kemungkinan besar merekalah golongan terakhir yang
menguasai bahasa Cina di Indonesia.
Generasi muda langsung tidak minat untuk mempelajari bahasa
ibunda walaupun bahasa Cina mula popular di seluruh dunia berikutan
kebangkitan negara China.
Keadaan tersebut berlaku akibat beberapa faktor.
Faktor utama ialah tiadanya persekitaran yang membolehkan mereka
bertutur dalam bahasa Cina lantaran tiada sistem pendidikan Cina.
Meskipun banyak kelas Mandarin diadakan di Bandung dan
sambutannya agak memuaskan, namun bayarannya agak mahal dan hanya mampu
ditanggung oleh golongan berada.
Maka pendidikan elit ini hanya dihadiri oleh segelintir orang
Cina tempatan yang berminat.
Tiadanya teman untuk bertutur dalam bahasa Cina juga menghambat
proses pembelajaran bahasa ibunda tersebut.
Yang Yun, misalnya berkahwin dengan lelaki Cina dan melahirkan empat
orang anak. Namun dia
bertutur dalam bahasa Indonesia dengan keluarganya.
Apabila kelas Mandarin diadakan di Bandung, dia cepat-cepat
menghantar kesemua anaknya ke kelas tahap I.
Akan tetapi, hanya anak sulung yang menunjukkan minat terhadap
bahasa ibunda, sedangkan anak-anak lain langsung kecundang.
Bahasa Cina yang sepatutnya menjadi bahasa ibunda telah menjadi
bahasa asing bagi mereka yang sukar dikuasai.
Bahasa Cina menjadi suatu yang tidak bermakna dan tidak bermaya di
Indonesia walaupun kelas Mandarin sudah banyak diadakan.
Namun begitu, tiga orang penulis Cina ini adalah lebih
keCinaannya daripada orang Cina di tempat lain.
Contohnya Yang Yun dan keluarganya masih mengamalkan kebudayaan
dan kepercayaan Cina tradisional.
Mereka meraikan hari kebesaran Cina seperti Tahun Baru Cina,Ching
Ming, Perayaan Kuih Bulan, Bulan Hantu, Dong Zhi dan lain-lain.
Cuma bahasa pengantar mereka agak berbeza daripada negara lain.
Dari segi lain, Yang Yun juga diamanahkan sebagai ketua Bahagian
Kesusasteraan Tradisional dalam Persatuan Penulis Tionghua di Bandung.
Beliau diminta memberi ceramah tentang apresiasi dan penulisan
puisi tradisional sekali seminggu.
Jemputa tersebut merupakan kepercayaan tinggi masyarakat Cina
terhadap beliau dan berlanjutan selama empat tahun.
Sewaktu saya berjumpa beliau di kedainya, seorag ahli persatuan datang
untuk menjemput Yang Yun memberi ceramah lagi tahun depan memandangkan
tiada calon lain yang lebih sesuai.
Perlu ditekankan di sini bahawa ceramah yang disampaikan oleh
Yang Yun adalah percuma dan para peserta juga dikecualikan bayaran.
Pengorbanan masa, tenaga dan wang adalah semata-mata kerana minat
yang mendalam terhadap kesusasteraan tradisional China.
Walau bagaimanapun, Yang Yun memberitahu saya bahawa daripada kesemua
peserta (kira-kira belasan orang) adalah golongan tua, iaitu 50 tahun ke
atas. Ini bererti ilmu kesusasteraan yang dimiliki beliau tidak dapat
diwarisi oleh generasi muda.
Beliau mengeluh bahawa usahanya selama ini ibarat mencurah air ke
daun keladi. Itulah antara
sebab Yang Yun berasa kecewa dan ingin berhenti daripada khidmat
tersebut. Beliau berjanji
untuk memberi ceramah sastera setahun lagi dan ingin ‘bersara’.
Apa yang ironisnya, tiada seorang anak Yang Yun yang mewarisi ilmu dan
minat beliau. Dengan
kesibukan menjaga kedai runcit setiap hari, Yang Yun tiada masa untuk
mengajar anaknya bercakap bahasa Cina, apa lagi kesusasteraan
tradisional China. Yogi,
satu-satunya anak beliau yang meminati bahasa Cina hanya menguasai
bahasa komunikasi seharian dan tidak meminati kesusasteraan.
Dia sedang mengikuti kelas bahasa Mandarin tahap sederhana
terutama untuk melatih sebutan dan pertuturannya.
Apa yang geli hati ialah guru bahasa Mandarin Yogi adalah bekas anak
murid Yang Yun. Guru itu
pernah melanjutkan pelajaran ke negara China lalu balik ke Bandung untuk
mengajar kelas bahasa Mandarin.
Oleh itu, Yogi adalah ‘cucu’ murid kepada Yang Yun.
Dengan minat yang mendalam terhadap bahasa dan kebudayaan Cina, Yogi
ingin mencari pasangan hidup Cina. Sebagai anak sulung, Yogi berasa dia
bertanggungjawab untuk mencari menantu yang bukan sahaja taat kepada
suami dan ibu mentua, tetapi juga setia kepada kebudayaan dan amalan
kehidupan Cina. Maka Yogi
boleh dikatakan orang Cina Indonesia yang sangat tulen sifatnya.
Namun begitu, bilangan ini tersangat sedikit dan semakin pupus kerana
majoriti orang Cina di Indonesia tidak menguasai bahasa dan kebudayaan
Cina, umpamanya tiga orang adik Yogi langsung meninggalkan bahasa Cina,
malahan adik lelaki Yogi sedang bercinta dengan teman wanita Cina yang
juga tidak memahami bahasa Cina dan beragama Kristian.
Dengan erti kata lain, mereka akan mendirikan keluarga Kristian
dan langsung meninggalkan bahasa dan kebudayaan Cina.
Dari pandangan saya, keadaan tersebut amat pedih dan memilukan.
Sebagai orang Cina, mereka terpaksa meninggalkan bahasa Cina
zaman Suharto disebabkan dasar kuku besi; namun pemuda Cina kini di
Indonesia sendiri memilih untuk meninggalkan bahasa Cina disebabkan
tiada keperluan dalam kehidupan seharian dan faktor persekitaran sama
ada keluarga, sahabat, mahupun masyarakat.
Tambahan pula, orang Cina di Indonesia sebenarnya tidak mendapat
penindasan seperti yang dilaporkan dalam media massa.
Saya bertanya Yogi tentang pengalamannya bergaul dengan kawan
Indonesia, dia berkata bahawa dia mempunyai ramai kawan baik Indonesia;
mereka berkongsi makanan, bermain bersama, dan saling mengunjungi pada
hari perayaan masing-masing, mereka juga saling membantu untuk
menyelesaikan masalah.
Baginya, orang Cina di Bandung tidak mendapat penindasan atau
diskriminasi. Tiada dasar
kerajaan yang memberi hak istimewa kepada peribumi tempatan; semua kaum
mendapat peluang kehidupan yang sama.
Keadaan ini adalah di luar jangkaan saya.
Dari luaran, orang Cina di Indonesia seolah-olah didiskriminasi
dari segala aspek bahasa, pendidikan, akhbar, dan hak kehidupan, namun
dari dalaman, mereka berpuas hati dengan keadaan dalam negara.
Mereka adalah warganegara Indonesia yang taat setia kepada negara
seperti mana yang dinyatakan dalam Sumpah Pemuda 1928, iaitu menjadikan
bahasa Indonesia sebagai bahasa kebangsaan.
Gambar bersama Zhou Xing Hua (berdiri kiri), Yang Yun (berdiri kanan),
Ming Fang (duduk kiri), dan penulis (duduk kanan) |